Ramai yang tidak mengambil berat dan sering memandang remeh sekiranya tidak membuang air besar walaupun sehingga seminggu atau lebih. Sekiranya tidak membuang air besar lebih dari tiga hari seminggu, bermakna individu itu sedang berdepan dengan masalah sembelit.
Sembelit tidak boleh dibiarkan tetapi perlu dirawat dengan segera kerana ianya boleh menganggu aktiviti seharian kita. Masalah sembelit ini boleh dikesan dengan melihat bentuk najis. Sekiranya najis berbentuk sosej yang lembut bermakna usus anda tidak ada masalah sebaliknya, jika najis anda berbentuk seperti kacang menunujukkan anda berhadapan dengan masalah sembelit.
Kita sering mengaitkan sembelit ini dengan kurang makan sayur walaupun terdapat banyak sebab lain termasuklah gaya hidup yang tidak sihat turut menyumbang kepada masalah sembelit ini. Pengambilan ubat untuk mengatasi darah tinggi, kurang bersenam, kehamilan dan tempat baru yang dikunjungi juga menyukarkan anda untuk membuang air besar.





















